January 20, 2021

Wakil UNHCR gesa Putrajaya sediakan kerja kepada pelarian

2 min read

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNHCR), Michelle Bachelet berharap Putrajaya akan membantu menyediakan pekerjaan bagi pelarian di Malaysia.

Beliau berkata, pekerjaan dan penjagaan kesihatan serta pendidikan penting untuk pelarian PBB sementara menunggu untuk dihantar ke negara lain yang sedia menerima mereka atau pulang ke rumah masing-masing.

Bachelet juga berharap Putrajaya akan mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 untuk melindungi hak pelarian dan pemohon suaka.

Beliau yang mengakiri lawatan empat hari ke Malaysia hari ini ialah pesuruhjaya tinggi UNHCR yang pertama mengunjungi Malaysia. Bachelet pernah dilantik sebagai presiden wanita Chile yang pertama.

Malaysia ialah destinasi pertama lawatan Bachelet ke Asia Tenggara sejak memegang jawatan itu pada September 2018. Lawatan ini dibuat atas undangan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah di luar acara Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland pada 26 Feb lalu.

Kementerian Luar dalam kenyataan dua hari lalu menyifatkan lawatan ini sebagai peristiwa penting dalam pencapaian Malaysia untuk menambah baik piawaian hak asasi manusia.

Hari ini, Bachelet berkata, tiada komitmen khusus dibuat Putrajaya setakat ini dalam pertemuannya dengan kerajaan Malaysia.

“Kami sudah bercakap mengenai situasi pelarian, pendatang asing dan pendatang asing tanpa izin, serta cabaran yang mereka bawa kepada Malaysia.

“Semalam, saya melawat sebuah pusat pembelajaran bagi pelarian Rohingya. Saya berharap pengiktirafan undang-undang pelarian dapat diperkukuhkan dan memastikan hak untuk mendapat pendidikan serta akses pasaran kerja bagi semua pelarian.”

UNHCR menegaskan kerajaan Myanmar perlu memastikan keadaan di negara itu selamat untuk pelarian Rohingya pulang ke sana.

Tetapi, Bachelet tidak merasakan keadaan di Myanmar sekarang sesuai untuk kepulangan pelarian Rohingya.

Hak Orang Asli

Bachelet berkata, ketelusan paling penting dalam hak Orang Asli.

Beliau berharap kerajaan akan berunding dan mendapatkan persetujuan Orang Asli sebelum memutuskan sebarang dasar baru yang akan menjejaskan golongan itu.

Beliau mengakui tidak memahami keadaan undang-undang di Malaysia, tetapi berharap hak Orang Asli akan dihormati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *